~Ucapan~


Secangkir Kata Pengerusi Kita



Assalamualaikum Warohmatulla
Hi` Wabarokatuh
dan Salam Sejahtera,


Pertama sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas perlantikan Ahli Jawatan Kuasa sesi 2008. Perlantikan ini mencerminkan kepercayaan
tuan-puan selaku masyarakat kawasan Sembilang untuk kami meneruskan perjuangan persatuan ini.


Persatuan Penduduk Sembilang (PPS) merupakan satu-satunya persatuan yang akan mewakili semua penduduk di kawasan kejiranan Sembilang tanpa mengira batasan kaum, agama, politik dan kewarganegaraan.

MISI & STRATEGI

Ingin saya perjelaskan serba sedikit tentang Misi dan Strategi persatuan ini. Secara amnya, PPS ingin menjadi pemangkin perpaduan bagi mencapai kesejahteraan bermasyarakat melalui semangat permuafakatan. Untuk mencapai misi ini PPS akan menumpukan aktiviti & program kepada beberapa bahagian.

1. Bekerja untuk menjamin keselamatan dan keharmonian penduduk.

2. Memastikan alam sekitar yang bersih dan terurus.

3. Mewakili penduduk dalam isu yang mempunyai kepentingan bersama.

4. Memupuk semangat perpaduan dan kejiranan dikalangan penduduk.

5. Menyelesaikan masalah penduduk melalui semangat permuafakatan.

6. Mengumpul dan menguruskan dana secara cekap dan telus bagi meneruskan aktiviti PPS.



HARAPAN

Sebagai badan sukarela, PPS amat memerlukan sokongan anda semua bagi memastikan suara kita di dalam kejiranan Sembilang dapat didengari dengan jelas, lantang & berpengaruh bagi menyelesaikan sebarang masalah samada kecil mahupun isu besar.

Kami sangat berbesar hati mengalu-alukan bantuan anda, lebih-lebih lagi keahlian anda. Sekiranya anda tinggal di kawasan kejiranan Sembilang dan berumur 18 tahun keatas, anda layak untuk memohon menjadi ahli.

Bagi laman web yang dilancarkan ini, saya berharap Mysembilang.com akan berperanan sebagai ' penyambung lidah' serta mata & telinga antara PPS dan para penduduk dalam konteks mempertingkatkan lagi kesedaran bahawa masih banyak lagi perubahan yang diperlukan melalui semangat permuafakatan bagi mencapai kesejahteraan bermasyarakat yang optimum.

Mengambil nasihat yang disarankan oleh Ibnu Khaldun, "Sekiranya kita ingin melihat generasi akan datang, lihatlah generasi hari ini". Kata nasihat ini menggariskan kepentingan kita generasi kini untuk membentuk, mendidik & mengawal keadaan semasa untuk kebaikkan generasi akan datang agar kelompok masyarakat di kawasan Sembilang ini akan terus menerus melahirkan serta menjadi komuniti yang cemerlang.

Sama-samalah kita berusaha merubah dan mengawal suasana persekitaran dan tidak hanya menanti untuk di telan kedalam suasana tanpa kawalan.

Sekian, terima kasih.

"Berdiri Kita Teguh - Bercerai Kita Roboh"


Ahmad Yasmin Bin Abd Rahman
Timbalan Pengerusi II
merangkap
Pemangku Pengerusi PPS.

18 Jun 2008